terapi iman

Saturday, September 15, 2007

Cikgu.....


Salam. .cikgu. ☺
Artikel di bawah adalah nurkilan ukhti Nor Adillah yang ana kira cukup baik dan ada banyak pengajaran untuk kita mendekati dan memahami hati-hati adik-adik kecil. Lebih seronok sebenarnya bila kita bersama dengan adik-adik yang kecil terasa dunia ni indah sahaja. Kembali keremajaan ku. Boleh buat sesuka hatiku. Cikgu pun tak larat nak marah ..he..he..Betul tak cikgu?..
Petikan daripada artikel di bawah,
Rupanya ‘tertanam’ diminda mereka sedikit ilmu yang saya sempat tinggalkan buat mereka iaitu
‘ular kena palu’ …
Hanya kerana 3 patah perkataan yang saya terangkan secara kebetulan, yang disebabkan ingin menggambarkan keadaan meja mereka yang tidak tersusun telah mewujudkan satu ingatan diminda mereka hingga menggelarkan saya ‘cikgu ular kena palu’….petikan dari artikel CIKGU ‘ular kena palu’
Lihat sahaja anak-anak kecil yang di gambarkan oleh cikgu Nor Adillah. Cepat mereka belajar. Maka kerana itu peringkat awal amat penting dalam pendidikan anak-anak. Mereka akan cepat tangkap apa yang ada disekeliling mereka. Apatah lagi jika guru yang didekati mereka amat sayang pada mereka.
Namun kita lihat sekiranya pada peringkat usia semuda mereka ini tidak kita manfaatkan untuk mendidik mereka dengan baik, maka apa impaknya? Sekiranya input yang di masukkkan tidak mengikut spesifikasi yang telah ALLAH tetapkan sejak kecil lagi apakan jadi pada outputnya? Negetif atau positif?
Program reality tv bintang kecil begitu mantap hingga dapat menarik anak-anak yang masih kecil untuk memilih karier sebagai penyanyi. Tak cukup untuk golongan dewasa program untuk adik-adik kecil pun ada. Betapa berusahanya program-program ini hinggakan bila ditanya tentang cita-cita “most of them” menjawab nak menjadi penyanyi popular. Maka jangan salahkan mereka. Moga-moga kita akan lebih berusaha.
Sesuai sangat muslimat menjadi pendidik kerana inilah posisi terbaik seorang wanita dalam pentarbiyahan. Moga kelak anak-anak yang didik oleh guru yang solehah ini bila ditanya tentang cita-cita jawab mereka “ I want to be a great mukmin”..Hidup untuk menjadi seorang syuhada. ☺
Anak-anak ibarat kain putih…..kita yang akan mencorakkan mereka. Guru ibarat permata berharga buat mereka. Terima kasih cikgu..kerana kesabaranmu…I love U teacher ☺
CIKGU ‘ular kena palu’


“Assalamualaikum cikgu..”sapa seorang murid darjah satu ketika berselisih denganku..
“Waalaikumussalam..” jawabku tersenyum..
“Cikgu..cikgu tau tak…kawan-kawan satu kelas saya panggil cikgu, ‘cikgu ulaq(ular) kena palu’.” katanya bersungguh dengan nada manja sebagai seorang anak kecil yang baru berusia 7 tahun.
“Ye ke..??kenapa kamu semua panggil cikgu macam tu?” tanyaku kehairanan tapi dengan nada lembut..
Tersengih tanpa jawapan. Terus saja anak itu berlari meninggalkan saya tercengang disitu.
Dalam perjalanan ke pejabat, di fikiran saya berputar-putar memikirkan sebabnya..tiba-tiba teringat saya seminggu sebelum cuti sekolah hari tu saya ada menggantikan guru yang tak hadir menjaga kelas darjah 1. Pertama kali masuk ke dalam kelas mereka membuatkan mereka tercengang melihat cikgu baru menggantikan kelas mereka. Memandangkan ketika saya masuk adalah waktu terakhir sebelum pulang, saya dapati kelas tersebut tunggang langgang. Dengan sampah bertaburan dan meja kerusi tidak tersusun dengan baik. Al maklumlah murid darjah satu, masih tidak dapat menguruskan kelas dengan baik.
“Ok kelas, kamu cuba lihat dibawah meja masing-masing dan seluruh kelas kamu penuh sampah.Apa kata kita kemas kelas dulu ye..boleh?” “Boleh cikgu!!” jerit mereka beramai-ramai. Kanak-kanak sememangnya begitu. Suka jerit bila menjawab soalan secara beramai-ramai. Kemudian terkeluar daripada mulut saya..
“Haa.. selepas tu kita susun meja ye.Cuba tengok kamu punya meja tak teratur macam ‘ular kena palu’’..kataku kepada seluruh kelas yang secara tiba-tiba terdiam kehairanan..
“Cikgu, ‘ulaq(ular) kena palu’ tu apa cikgu??” tanya seorang murid bagai mewakili seluruh kelas..ditambah lagi dengan seorang pelajar lain..”Yelah cikgu,kami tak faham cikgu cakap apa..”..tersenyum saya melihat gaya dan telatah anak-anak kecil ini berbicara…Lantas saya tulis di papan hitam perkataan ‘Ular kena palu’.
“Ulaq kena palu tu,adalah simpulan bahasa yang maksudnya barisan atau apa saja yang kita susun tapi dalam keadaan bengkang-bengkok. Maksudnya tak lurus la..macam meja kamu ni..tak tersusun.” terangku bersungguh.
“Tapi kamu kena tahu juga kenapa kita gunakan simpulan bahasa ini untuk menggambarkan barisan yang tidak lurus..kamu tahu tak palu tu apa?” soalku. Seronok saya lihat setiap mata anak –anak ini tertumpu penuh minat dengan penerangan saya.
“Tak tau cikgu. Palu tu apa?”tanya beberapa orang murid.
“Palu tu sama juga dengan maksud pukul. Kamu tau kan ular tu binatang macam mana. Panjang badan dia. Jadi bila kita pukul ular tu, cuba kita tengok, badan ular tu akan mengeliat dan bengkang bengkok kesakitan..(sambil melukis di papan hitam)..Jadi daripada keadaan begitulah kita ambil sebagai simpulan bahasa untuk menggambarkan barisan yang tidak lurus..faham tak?” terangku panjang lebar..dalam hati saya berkata, fahamkah mereka dengan penerangan saya yang bagai ayat ‘skima’ ni.Bimbang juga jika tak faham kerana mungkin tahap pemikiran mereka masih ‘muda’ untuk faham semua ini. Tapi bagi saya kita kena terangkan kenapa jadi begitu, bukan hanya beri fakta semata-mata.
“Oooo..ulaq kena katoq (pukul) la ni cikgu..!” kata seorang murid lelaki dengan loghat Penang ..Ketawa saya dengan rakan-rakan sekelas yang lain mendengar loghat ‘pekatnya’..
Begitulah kisah yang masih segar diingatan saya.Mungkin kerana itu saya digelar begitu. Saya membuat andaian. Saya tersenyum sendirian. Hinggalah satu hari saya berpeluang bersembang dengan 2 orang murid kelas darjah 1 yang saya masuk tempoh hari.
“Kenapa kamu semua panggil ‘cikgu ulaq kena palu’? tanyaku ramah.
“Kami satu kelas panggil macam tu sebab kami tak tau nama cikgu. Jadi kami panggil la macam tu. Lagipun cikgu yang ajaq kami pasal ulaq kena palu tu..”jawabnya takut-takut. Mungkin bimbang dimarahi. Lantas saya ketawa mendengarnya. Memang salah saya pun. Baru saya ingat saya lupa nak kenalkan nama saya.
“Ooo..macam tu ka..tak pa,cikgu tanya ja,bukan nak marah pun.Terima kasih habaq cikgu perkara sebenar na..k,nama cikgu, Adillah. Jadi kamu semua panggil, cikgu Adillah ye..nanti habaq kat kawan-kawan satu kelas nama cikgu ye.Tak mau panggil macam hari tu lagi.” sambil tersenyum.
“Haa..cikgu nak tanya ni. Kamu masih ingat tak maksud ulaq kena palu tu?”
“Ulaq kena katoq cikgu..” jawabnya penuh keyakinan. Tersenyum saya lagi.
“Ye, betul. Tapi maksud cikgu, simpulan bahasa tu diguna kan untuk situasi apa?Kita guna bila nak terangkan tentang apa?”
“Tentang barisan yang bengkang-bengkok!”jawab seorang daripada mereka.
“Haa.Untuk yang tak lurus cikgu!”jawab seorang lagi tak mahu mengalah..
“Pandai pun kamu. Bagus la kamu masih ingat apa yang cikgu ajar walau hanya 3 perkataan sahaja. Kamu ingat pesan cikgu ni, kamu mesti ingat maksud simpulan bahasa ni. Nanti darjah 2 kamu akan belajar lebih banyak simpulan bahasa lagi. Nanti bila cikgu kamu tanya tentang ‘ular kena palu’ kamu mesti boleh jawab…”kataku penuh harapan.
“Ok cikgu, kami ingat!…”jawab mereka bersungguh.
“Erm..nak bunyi loceng dah ni, kamu balik kelas dulu ye..sampaikan salam cikgu buat kawan-kawan kamu ye..”kata saya penuh kepuasan.
Sebelum ni, mereka ni satu kelas bila lalu saja didepan kelas ‘khas’ dimana kelas tempat saya mengajar untuk murid pemulihan yang kebetulan berada bersebelahan dengan perpustakaan sekolah, pasti mereka akan tegur saya dengan panggilan ‘cikgu!’. Bayangkan mereka yang lebih daripada 30 orang murid yang beratur panjang menuju ke perpustakaan tak putus-putus panggil saya.’cikgu!’ Entah apala sebab mereka suka sangat dengan saya yang hanya berkesempatan menjaga kelas mereka hanya selama 30 minit. Rupanya ‘tertanam’ diminda mereka sedikit ilmu yang saya sempat tinggalkan buat mereka iaitu
‘ular kena palu’ …
Hanya kerana 3 patah perkataan yang saya terangkan secara kebetulan, yang disebabkan ingin menggambarkan keadaan meja mereka yang tidak tersusun telah mewujudkan satu ingatan diminda mereka hingga menggelarkan saya ‘cikgu ular kena palu’.. Saya tidak marahkan mereka langsung atas gelaran itu malah bersyukur kerana sekurang-kurangnya ilmu itu ‘dimanfaatkan’ walau pada situasi yang kurang tepat! Begitulah sedikit kisah yang ingin saya kongsikan bersama. Sebuah kisah benar yang berlaku dalam lingkungan perkhidmatan saya sebagai seorang guru sandaran. Kisah yang tak mungkin saya lupakan.

Nor Adillah Abd Rahman,
Guru Sandaran,
SKTL,PP
(Ogos ‘07-Nov ‘07)

Cikgu ‘Ulaq kena palu’,
Guru Sandaran,

2 comments:

Anonymous said...

Cerita yg menarik,sungguh mempesona.(ayat skematik).
teringat kat teacher aku yg ajar is,was,he,she,are..tp apa yg bliau ajar smpai skrg masih kumpius lgi.hehe!

ImaNaShikiN said...

heheh macam2 adik akk sorang ni...yeke?