terapi iman

Wednesday, January 21, 2009

Pengorbanan

Assalamualaikum Imam. Saya saudara kamu, Adam”, seorang lelaki Irish menghulurkan tangan kepada saya selepas selesai bersolat Jumaat di masjid.
“Wa ‘alaikum al-Salaam. Apa khabar? Awak orang baru di sini?”, saya bertanya kepadanya.

Beliau memperkenalkan dirinya sebagai Adam (bukan nama sebenar - penulis), atau nama sebelum Islamnya John. Beliau baru sahaja pulang ke Ireland dari Jordan dan tengah hari ini, kami dipertemukan buat pertama kali.
Adam memeluk Islam dua tahun yang lalu. Beliau berasal daripada sebuah bandar di utara Belfast.

“Saya ada satu perkara yang ingin saya tanya kepada Imam, bolehkah?”, Adam menyoal saya.

“Tentu sahaja. Itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab saya. Tanyalah, tiada apa yang perlu dirisaukan.”, saya memberi laluan kepada Adam untuk meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

“Imam pernah tak membaca atau mengkaji tentang seorang tokoh bernama Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah?”, Adam memulakan perbincangan.

“Alhamdulillah, sedikit sebanyak saya memang ada membaca hasil tulisannya. Seorang yang bagus kerana teguh memelihara al-Quran serta Sunnah yang sahih. Dalam masa yang sama, tinggi pula sentuhannya terhadap tarbiyah hati. Kenapa awak tanya begitu?”, saya cuba mendapatkan kepastian.

“Tentunya seorang yang hebat, adalah hasil didikan gurunya yang hebat. Betulkah begitu, Imam?”, tanya Adam lagi.

“Awak ingin bertanya tentang Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah ke?”, saya menyoal Adam dengan senyuman.
Adam tersenyum dan menganggukkan kepalanya.

“Tentu sekali Ibn Taimiyyah seorang yang hebat. Banyak juga bukunya yang saya baca semasa belajar di Jordan. Alhamdulillah, banyak perubahan yang berlaku kepada pemikiran saya sebab tulisan-tulisan Ibn Taimiyyah
bukan sahaja sarat dengan fakta, tetapi ia juga mengubah cara kita berfikir. Mungkin sebab itu, dia dianggap menongkah arus zamannya”, saya cuba berkongsi pendapat dengan Adam tentang Ibn Taimiyyah.

“Jadi, Imam seorang Salafi?”, Adam memperlahankan suara sambil mengurut janggutnya yang diinai.

“Jika diambil istilah itu, mungkin pelbagai persepsi yang timbul. Namun, saya mengutamakan apa menepati al-Quran dan Sunnah yang sahih. Saya dibesarkan di dalam lingkungan mazhab Syafie, dan antara hasil didikan Syafie, saya diingatkan supaya sentiasa mengutamakan apa yang terbukti pada Sunnah yang sahih. Kalau begitu, saya ini Salafikah, Adam?”

Adam ketawa kecil dan memeluk saya. Beliau menjelaskan bahawa semasa khutbah Jumaat tadi, dia mendengar saya menyebut tentang Salafussoleh. Terdetik pula di hatinya untuk mengetahui tentang pendirian saya.
Saya amat mengagumi sopan santun Adam. Beliau tahu yang isu Salaf vs. Khalaf ini sebagai sesuatu yang sensitif. Sebab itu beliau bertanya tentang Ibn Taimiyyah melalui soalan tentang anak muridnya Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah.

ASAR

Waktu Asar telah masuk.

Musim sejuk di Belfast memang ekstrim jadual solatnya. Setiap hari, perbezaan waktu solat boleh mencecah 2 minit. Dan hari ini, solat Asar masuk pada jam 2:15 petang. Saya mengimamkan solat Asar petang itu dengan jumlah jemaah yang hampir sama dengan solat Jumaat tadi. Memang menjadi kebiasaan, ramai anggota jemaah akan menunggu hingga selesai solat Asar sebelum beredar meninggalkan masjid.
Selepas solat Asar, saya menyambung perbualan saya dengan Adam. Walaupun tutur dan raut wajahnya begitu lembut, tetapi saya bagai dapat mengesan ada suatu prinsip diri yang kuat dan keras di sebalik setiap patah perkataan Adam.

KEMBARA MENCARI JAWAPAN

“Dulu, saya dan dua lagi rakan dianggap sebagai pelajar bermasalah. Kami sentiasa memberontak semasa di sekolah. Semua perkara kami tidak setuju. Mungkin semua itu berpunca dari jiwa kami bertiga yang tidak tenteram. Bagai ada sesuatu yang tidak kena dalam hidup ini” Adam memulakan cerita tentang latar belakang keIslamannya.

“Kamu mencari tujuan hidup?” saya bertanya.

“Mungkin. Namun, kami bertiga akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti sekolah. Kami bekerja dan gigih mengumpul wang. Selepas setahun, saya dan kawan-kawan mengembara ke arah Timur. Perjalanan kami merentasi Continent dan akhirnya tiba di Turki” kata Adam.

“Di Turki, kami bertemu dengan pelbagai kejutan. Selama ini saya beranggapan bahawa orang Turki ini ganas. Pantang nampak orang Barat, mesti mahu dipancung. Itu yang kami belajar di sekolah. Tetapi semasa di Turki, saya berasa amat terharu kerana tidak pernah seumur hidup, kami bertemu dengan manusia yang begitu memuliakan tetamu dan menghargai diri kami,” Adam bercerita sambil jarinya memintal-mintal benang sejadah.

“Ya, saya faham apa yang kamu maksudkan. Saya sebagai seorang Muslim, turut jatuh hati dengan Turki, kesan kemuliaan terhadap tetamu mereka yang tiada tolok bandingnya. Lantas apa yang berlaku selepas itu, Adam?” saya mahu terus mendengar ceritanya.

Adam memberitahu bahawa, selepas beberapa minggu mereka di Turki, mereka terasa semacam ada perubahan kepada diri. Mereka seolah-olah bertemu dengan ketenangan yang dicari selama ini.

“Kami duduk berbual siang dan malam. Mencari jawapan, apakah sentuhan yang menjadikan orang Turki begitu mulia pekertinya. Setelah melihat perbezaan sekelompok orang Turki dengan sekelompok yang lain, kami yakin bahawa Islamlah yang menjadikan satu pihak di Turki sangat tinggi budi mereka, dan satu pihak yang lain, sama buruk malah mungkin lebih buruk dari orang Eropah di tempat kami,” Adam rancak bercerita.
Saya juga tekun mengikuti bait-bait perkataannya. Accent Irish Utara amat pekat di lidah Adam.

“Selepas pulang ke England, kami bertiga pergi ke Regent Mosque di London dan di situlah kami bertiga melafazkan syahadah!” Adam mengangkat wajahnya kepada saya dan matanya merah menakung tangis.

“Segala puji bagi-Mu ya Allah” saya mengangkat tangan menadah puji untuk-Nya.
Ya, kembara mereka bertiga adalah kembara mencari makna hidup. Keresahan yang Allah campakkan ke dalam jiwa mereka adalah seperti pemaksa agar mereka keluar dari kehidupan yang gelap kepada kecerahan Iman. Resah yang disambut dengan pencarian… berakhir dengan sebuah damai yang lebih berharga dari langit dan bumi serta segala isinya.

TIGA SERANGKAI

“Mana sahabat kamu yang berdua lagi tu?” saya bertanya.
Adam tersentak. Pipi dan telinganya kemerahan. Semacam terkejut dengan soalan saya. Adam terus diam dan matanya redup membendung sesuatu. Mendung luar menambahkan keheningan kami yang tinggal berdua di mihrab masjid. Jemaah lain sudah pulang ke rumah masing-masing atau ke tempat kerja semula.

“Inilah yang ingin saya bincangkan bersama kamu, Imam” Adam menjawab.

“Tentu sekali. Apa yang berlaku?” saya menyoalnya.

“Selepas kami ‘kembali’ kepada Islam, saya dan dua lagi rakan berbincang tentang masa depan kami. Masing-masing mahu melakukan sesuatu yang besar atas kepulangan kami kepada Islam” Adam bercerita.

Istilah REVERT yang memberi makna ‘kembali pulang’ adalah istilah yang lebih suka digunakan oleh masyarakat Barat yang memeluk Islam. Mereka tidak suka menggunakan perkataan CONVERT kerana ia mempunyai konotasi negatif seolah-olah Islam ini mempengaruhi seorang manusia kepada kepercayaannya secara batil. Walhal, memeluk Islam itu sebenarnya adalah kembalinya manusia itu kepada fitrah, acuan Allah yang datang bersama kelahiran setiap insan.

“Jonathan membuat keputusan untuk ke Balkan. Kevin pula membuat keputusan untuk ke Yaman menuntut ilmu.”, kata Adam.

“Dan kamu, Adam?”, saya tertanya-tanya.

“Ya, saya masih di sini. Jonathan dan Kevin sama seperti saya, kami bimbangkan ibu bapa kami. Kami tidak mahu mereka kehilangan kami. Bahkan kami amat mengharapkan supaya mereka juga mendapat petunjuk Allah dan memeluk Islam,” Adam memberikan penjelasan.

“Jadi, kamu semua batalkan hasrat masing-masing?” saya ingin mendapatkan kepastian.

“Tidak. Kevin sekarang ni sudah setahun belajar di Yaman. Dia mencari Sheikh Muqbil,” kata Adam.

“Dan Jonathan… dia sudah selesai perjalanan di dunia ini. Syahid di bumi jihad!” kata Adam kepada saya.

Allahu Akbar! Terkejut saya mendengar cerita Adam itu. Perasaan saya bercampur baur di antara bangga, kagum, sedih dan malu. Saya berasa kagum dengan cerita Adam kerana ia mengingatkan saya kepada perihal ahli sihir Firaun. Paginya mereka kufur, tengah hari mereka beriman dan petangnya pula syahid mempertahankan harga iman. Rahmat Allah ke atas Jonathan, baru setahun dua memeluk Islam, sudah pulang kepada yang Esa dengan cara yang paling mulia.

Tidak sempat dicemar dosa.


gambar hiasan

Kevin pula membuktikan bagaimana seorang yang mencari Islam, akan tahu harga Islam. Tidak seperti mereka yang diberi Islam umpama kebanyakan kita.
Kerana diberi, kita mudah lupa harga pemberian itu. Mudah juga membuangnya. Jika ahli sihir Firaun kufur di pagi, beriman di tengah hari, dan syahid menjelang petang, bagaimana pula dengan umat Islam? Paginya beriman, tengah harinya tersasar. Dan ketika dunia ini merangkak ke senja umur, ramai pula yang berbondong membuang agama.

“Itulah yang menyedihkan saya Imam. Mereka berdua sudah berjaya membuktikan keIslaman mereka. Namun saya masih di sini,” Adam sugul menyuarakan kekecewaan hatinya.

“Kenapa kamu masih di sini?” saya bertanya.

MEMIKUL AMANAH

“Sebelum kami berpisah, saya telah bersetuju memikul amanah menjaga ibu bapa kami bertiga. Itulah rutin saya sekarang. Sekali sekala saya ke rumah keluarga Kevin dan Jonathan untuk menghilangkan sunyi ibu bapa mereka terhadap anak masing-masing. Dan sehingga kini, saya masih belum tergamak memberitahu orang tua Jonathan, yang anak mereka sudah tiada!” Adam mengesat air mata yang mengalir perlahan di pipinya.

“Jihad saya hanya pada menipu ibu bapa Jonathan. Memberikan harapan palsu kepada mereka” Adam menangis.

Terkejut saya mencapai puncak. Jadi kaget dan hilang bicara.

“Adam, sedarkah awak bahawa awak adalah yang terbaik di kalangan mereka?” saya mahu Adam melihat keadaan ini dengan pandangan yang betul.

“Kenapa Imam kata begitu?” tangisan Adam terhenti.

“Saya percaya Adam tentu tahu dan faham, bahawa tanggungjawab memelihara ibu bapa adalah tuntutan yang amat besar di dalam Islam. Ia tidak mengenal soal perbezaan agama. Kerana kamu, Kevin dapat pergi menuntut ilmu di Yaman. Kerana kamu, Jonathan syahid fi sabilillaah. Memang menuntut ilmu itu indah, memang syahid itu mulia. Tapi apakah yang mahu dicari pada ilmu dan syahid itu?” saya menyoal Adam.

“Semua itu kita lakukan kerana mencari keredhaan Allah. Benar?” soalan saya disambut Adam dengan angguk tanda setuju.

“Ya Adam. Keredhaan Allah ada pada menuntut ilmu. Keredhaan Allah juga ada ada pada dakwah dan jihad. Namun, jangan lupa betapa besarnya keredhaan Allah pada berbuat baik kepada ibu dan bapa. Mulianya kamu bertiga, Adam!” saya tenggelam dalam sebak dada menyaksikan seorang insan bernama Adam yang baru setahun dua lahir ke dunia Iman dan Islam, namun sudah jelas dan tepat arah hidupnya.
Saya menasihati Adam supaya teguh bersabar melaksanakan janjinya kepada Kevin dan Jonathan. Sesekali memang datang rasa jemu, rasa cemburu dan rasa seolah-olah diri jauh tercicir di belakang. Namun, saya cuba meniup semangat kepada Adam, agar perasaan seperti itu dapat dipujuk pada nilai dan harga, memelihara kebajikan ibu dan bapa, walaupun berbeza cara hidup, berlainan kepercayaan.

“Saya pernah ke Jordan. Cuba-cuba untuk belajar tentang Islam dan menadah curahan ilmu dari ulama’ di sana. Tetapi hati saya sentiasa resah memikirkan amanah dan janji saya kepada Kevin dan Jonathan. Saya pulang ke Ireland” kata Adam.

“Saya mungkin hanya serpihan kaca dari mutiara Ulama’ kita di Jordan. Tetapi selama kamu di Belfast ini, Adam, izinkan saya untuk membantu kamu” saya menepuk bahunya.

“Terima kasih Imam. Doakan saya…” Adam berpisah dengan saya di pintu masjid. Dia pulang ke rumah bertemu kedua orang tuanya.

Dalam semarak panggilan jihad di bumi Gaza… jiwa saya dirundung rindu kepada perbualan petang Jumaat itu yang nostalgianya masih mencengkam hati. Doa saya buat Adam, pada ukhuwwah antara benua.

sumber:ABU SAIF @ www.saifulislam.com

No comments: