terapi iman

Thursday, March 22, 2012

Isteri Solehah


Satu hari saya bertemu dengan seorang sahabat saya yang bernama Wardah. Dalam pertemuan itu, dia bertanya kepada saya, “Ain, apa tandanya isteri solehah?”
Saya menjawab, “Wardah, kau tentunya lebih ‘arif daripadaku untuk menjawabnya...”

Sebenarnya saya tahu tujuan pertanyaan Wardah bukanlah untuk menduga jawapan saya, sebaliknya untuk saling memperingatkan diri agar berhati-hati dan teliti dalam menyempurnakan tanggungjawab yang berat ini.

Saya ingin menyingkap kembali sejarah Nabi Ibrahim sewaktu baginda menziarahi menantunya. Pada waktu itu, puteranya, Nabi Ismail tiada di rumah sedangkan isterinya belum pernah bertemu bapa mertuanya, Nabi Ibrahim.

Apabila sampai di rumah anaknya itu, terjadilah dialog antara Nabi Ibrahim dan menantunya.

Nabi Ibrahim : Siapakah kamu?
Menantu : Aku isteri Ismail.
Nabi Ibrahim : Di manakah suamimu, Ismail?
Menantu : Dia pergi berburu.
Nabi Ibrahim : Bagaimanakah keadaan hidupmu sekeluarga?
Menantu : Oh, kami semua dalam kesempitan dan (mengeluh) tidak
pernah senang dan lapang.
Nabi Ibrahim : Baiklah! Jika suamimu balik, sampaikan salamku padanya.
Katakan padanya, tukar tiang pintu rumahnya (sebagai kiasan
supaya menceraikan isterinya).
Menantu : Ya, baiklah.

Setelah Nabi Ismail pulang daripada berburu, isterinya terus menceritakan tentang orang tua yang telah singgah di rumah mereka.

Nabi Ismail : Adakah apa-apa yang ditanya oleh orang tua itu?
Isteri : Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.
Nabi Ismail : Apa jawapanmu?
Isteri : Aku ceritakan kita ini orang yang susah. Hidup kita ini selalu dalam
kesempitan, tidak pernah senang.
Nabi Ismail : Adakah dia berpesan apa-apa?
Isteri : Ya ada. Dia berpesan supaya aku menyampaikan salam
kepadamu serta meminta kamu menukarkan tiang pintu rumahmu.
Nabi Ismail : Sebenarnya dia itu ayahku. Dia menyuruh kita berpisah.
Sekarang kembalilah kau kepada keluargamu.

Ismail pun menceraikan isterinya yang suka merungut, tidak bertimbang rasa serta tidak bersyukur kepada takdir Allah SWT. Sanggup pula mendedahkan rahsia rumah tangga kepada orang luar.

Tidak lama selepas itu, Nabi Ismail berkahwin lagi. Setelah sekian lama, Nabi Ibrahim datang lagi ke Makkah dengan tujuan menziarahi anak dan menantunya. Berlakulah lagi pertemuan antara mertua dan menantu yang saling tidak mengenali.

Nabi Ibrahim : Dimana suamimu?
Menantu : Dia tiada dirumah. Dia sedang memburu.
Nabi Ibrahim : Bagaimana keadaan hidupmu sekeluarga?
Mudah-mudahan dalam kesenangan?
Menantu : Syukurlah kepada tuhan, kami semua dalam keadaan sejahtera,
tiada apa yang kurang.
Nabi Ibrahim : Baguslah kalau begitu.
Menantu : Silalah duduk sebentar. Boleh saya hidangkan
sedikit makanan.
Nabi Ibrahim : Apa pula yang ingin kamu hidangkan?
Menantu : Ada sedikit daging, tunggulah saya sediakan minuman dahulu.
Nabi Ibrahim : (Berdoa) Ya Allah! Ya Tuhanku! Berkatilah mereka
dalam makan minum mereka. (Berdasarkan peristiwa ini,
Rasulullah beranggapan keadaan mewah negeri Makkah adalah
berkat doa Nabi Ibrahim).
Nabi Ibrahim : Baiklah, nanti apabila suamimu pulang, sampai- kan salamku
kepadanya. Suruhlah dia menetapkan tiang pintu rumahnya
sebagai kiasan untuk mengekalkan isteri Nabi Ismail).

Apabila Nabi Ismail pulang daripada berburu, seperti biasa dia bertanya sekiranya sesiapa datang datang mencarinya.

Nabi Ismail : Ada sesiapa datang semasa aku tiada di rumah?
Isteri : Ya, ada. Seorang tua yang baik rupanya dan perwatakannya
sepertimu.
Nabi Ismail : Apa katanya?
Isteri : Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.
Nabi Ismail : Apa jawapanmu?
Isteri : Aku nyatakan kepadanya hidup kita dalam keadaan baik, tiada
apapun yang kurang. Aku ajak juga dia makan dan minum.
Nabi Ismail : Adakah dia berpesan apa-apa?
Isteri : Ada, dia berkirim salam buatmu dan menyuruh kamu
mengekalkan tiang pintu rumahmu.
Nabi Ismail : Oh, begitu. Sebenarnya dialah ayahku. Tiang pintu yang
dimaksudkannya itu ialah dirimu yang dimintanya untuk aku
kekalkan.
Isteri : Alhamdulillah, syukur.

Bagaimana pandangan pembaca tentang petikan sejarah ini? Saya rasa sejarah ini sungguh menyentuh jiwa. Anda juga tentu merasai dan mengalami sendiri ujian hidup berumahtangga yang sentiasa perlukan kesabaran.

Berpandukan sejarah tersebut, saya tegaskan kepada diri sendiri bahawa isteri solehah itu sepatutnya ‘sabar di hati dan syukur pada wajah’. Daripada sini akan terpancar ketenangan setiap kali suami berhadapan dengan isteri salehah. Isteri salehah tidak cerewet dan tidak mudah merungut. Isteri salehah hendaklah sentiasa bersyukur dalam keadaan senang mahupun susah supaya Allah tambahkan lagi rahmat-Nya seperti firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku tambahkan nikmat-Ku kepadamu. Dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Untuk menambahkan kegigihan kita berusaha menjadi isteri salehah, ingatlah hadis Rasulullah yang bermaksud:

“Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit sekali golongan kamu yang dapat melakukan demikian.”
(Riwayat Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)
Begitulah, untuk menyediakan diri sebagai isteri salehah, hati kita hendaklah sentiasa dipenuhi dengan kasih sayang rabbani. Contoh teladan yang sepatutnya jadi rujukan kita ialah sejarah kehidupan nabi serta orang saleh.

Sunday, March 4, 2012

Pengharapanku..



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semoga kita semua didalam Rahmat Allah dan kasih sayangNya.


SUATU aktiviti mental yang memainkan peranan besar dalam membina ketenangan, keceriaan dan kemajuan hidup ialah ar-raja’ atau bergantung hidup.

Seluruh umat Islam dituntut supaya menaruh pengharapan yang tinggi kepada Allah s.w.t untuk memperolehi rahmat dan nikmat-Nya yang disediakan bagi hamba-hamba yang salih.

Manusia sebagai makhluk yang tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan juga amat perlu mengharap keampunan (maghfirah) daripada Illahi. Harapan ini akan memberi dorongan yang berterusan untuk maju mendekatkan diri kepada Allah kerana percaya bahawa Allah akan menyambut setiap langkah pendekatan hamba-Nya sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis Qudsi:
“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan, maka untuknya sepuluh kali ganda pahala, bahkan mungkin lebih. Sesiapa yang berbuat kejahatan, maka dibalas dengan satu dosa, bahkan mungkin diampuni. Dan sesiapa yang menghampiri-Ku (Allah) sejengkal, Aku akan menghampirinya sehasta. Sesiapa yang datang kepada-Ku berjalan, maka Aku akan berlari kepadanya. Sesiapa yang menghadap kepada-Ku dengan dosa sepenuh isi bumi, sedangkan dia tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, nescaya Aku akan menemuinya dengan keampunan sebesar itu pula.” (Riwayat Muslim).

Begitulah kemurahan dan keampunan Allah terhadap hamba-hamba-Nya yang tidak musyrik (menyekutukan Allah). Kemurahan Allah ini sememangnya telah ditetapkan oleh Allah sendiri sewaktu mula-mula Dia menjadikan makhluk.

Ini jelas berdasarkan sepotong hadis yang bermaksud: “Sewaktu Allah menjadikan makhluk, maka Allah telah menetapkan atas dirinya sendiri dalam sebuah kitab di atas Arasy bahawa: ‘Rahmat-Ku mengalahkan murka-Ku (Rahmat Allah mengahului kemurkaan-Nya)”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Pernah terjadi pada zaman Rasulullah, seorang wanita yang menjadi tawanan perang telah buntu fikirannya untuk mencari anaknya yang telah hilang. Dalam kerinduan kepada anaknya, setiap kali dia melihat kanak-kanak di dalam tempat tawanan tersebut dia akan menimang kanak-kanak itu dan menyusukannya.

Melihat betapa kasihnya seorang ibu terhadap anaknya, Rasulullah lantas bertanya kepada sahabat-sahabat: Adakah kamu semua fikir wanita itu sampai hati untuk mencampakkan anaknya ke dalam api?”
“Tentu sekali tidak,” jawab sahabat-sahabat serentak. Rasulullah menambah lagi, “demi Allah, sesungguhnya Tuhan lebih kasih kepada hamba-Nya melebihi kasih ibu itu kepada anaknya/”

Sehubungan dengan ini juga kita dapat menilai sendiri kasih sayang Allah kepada kita sehingga seboleh-bolehnya. Dia tidak mahu hamba-Nya masuk ke dalam neraka, namun kedegilan dan keengkaran hamba untuk berbakti kepada-Nya membuatkan hamba itu sendiri dihumbankan ke dalam api neraka, kerana Allah itu sekali-kali tidak akan memungkiri janji-Nya.

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah ada mengungkapkan: “Allah memberi kasih sayang seratus bahagian, sembilan puluh sembilan bahagian ditahan untuk sementara dan satu bahagian diturunkan ke bumi. Dari satu bahagian itulah seluruh makhluk hidup berkasih sayang, hinggakan kamu dapat melihat binatang mengangkat kakinya kerana khuatir terpijak anaknya.”

Dalam hubungan ini juga, dalam surat az-Zumar ayat 54 Allah menyampaikan berita gembira agar manusia tidak mudah berputus asa daripada rahmat dan keampunan-Nya. Hanya rahmat Tuhan yang dapat menjauhkan orang-orang beriman daripada sentuhan api neraka. Rasulullah mengulas berhubung ayat ini dalam hadisnya bermaksud: “Setiap orang yang mempercayai bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah hamba Allah dan utusan-Nya, dengan pengakuan yang sungguh-sungguh dalam hatinya, melainkan Allah akan mengharamkan orang itu daripada disentuh api neraka.”

Sebaik sahaja mendengar hadis ini, seorang sahabat, Muaz bin Jabal terus meminta izin daripada Rasulullah untuk menyebarkan berita gembira ini kepada semua orang namun tidak dibenarkan oleh Rasulullah kerana baginda khuatir orang ramai akan bertawakal sahaja tanpa beramal.

Walau bagaimanapun hadis ini terpaksa juga diceritakan oleh Muaz kerana beliau takut terhadap dosa orang yang menyembunyikan ilmu.


Menurut Abu Musa al-Asya’ari, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Apabila tiba hari kiamat, Allah akan memberikan kepada setiap Muslim seorang Yahudi atau Nasrani dan dikatakan: inilah tebusanmu dari neraka.”

Keperihatinan hidup orang yang beriman ialah kerana selalu membayangkan rahmat Allah sentiasa di hadapannya. Mereka akan terus terdorong untuk meningkatkan amal baktinya kerana menaruh harapan yang penuh kepada Tuhan akan beroleh ganjaran yang besar di sisi-Nya. Ini berdasarkan surah az-Zumar ayat 10 yang bermaksud:
“Sampaikanlah: Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman, berbaktilah kepada Tuhanmu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperolehi kebaikan.”

Selain mengharapkan kasih sayang Illahi dengan sebarang nikmat-Nya yang tidak terhitung banyaknya di dunia ini, mereka juga penuh harapan untuk memperolehi rahmat kebahagiaan yang kekal abadi di akhirat kelak.

Rasulullah pernah mengunjungi seorang pemuda yang sedang menghadapi maut. Lalu baginda bertanya kepada pemuda itu mengenai keadaan dirinya. Pemuda itu lantas menjawab: ”Aku mengharapkan ampunan Illahi dan aku juga khuatir mengenai dosa-dosaku yang aku lakukan,”

Rasulullah lalu bersabda: “Tidak terkumpul kedua-dua perasaan ini di dalam hati seseorang hamba Allah pada saat seperti ini, kecuali pasti Allah memberikan segala yang diharapkannya dan mententeramkan apa yang dikhuatirkannya.

Impianku...semoga bisa mnjadi muslimah tegar & solehah (Insya Allah)..

Bacaan dari:http://hati-seorang-ummi.blogspot.com/2010/04/mengharap-rahmat-dan-ampunan-allah-swt.html